HOME

Sunday, May 7, 2023

khasiat kurma




TERDAPAT 12 KHASIAT KURMA PADA KESIHATAN:


1.SUMBER TENAGA YANG BAGUS DAN CEPAT.

Kurma boleh menjadi sumber tenaga yang bagus dan cepat. Hal ini kerana kurma tinggi dengan sumber karbohidrat ringkas seperti glukosa, sukrosa dan fruktosa yang merangkumi sehingga 70% daripada buah kurma tersebut. Karbohidrat ringkas yang ada di dalam kurma ini adalah mudah terurai dan bertukar menjadi sumber tenaga, sekaligus mampu membekalkan dan mengembalikan tenaga dengan cepat. Oleh itu, ia sesuai untuk diambil setelah bersenam atau ketika badan terasa letih bagi mengembalikan semula tenaga yang telah hilang dan menguatkan kembali badan.  Jadi, tidak hairanlah ia bagus untuk diambil oleh para atlet atau bagi umat Islam ketika berbuka puasa setelah seharian berpuasa.


2.MEMUDAHKAN PROSES BERSALIN.

Kurma juga boleh membantu proses bersalin bagi para wanita mengandung. Kajian yang dijalankan terhadap 91 orang wanita mengandung yang mengambil 70-76g kurma setiap hari mulai minggu ke-37 kehamilan mendapati bahawa pengambilan kurma pada akhir trimester adalah efektif untuk mengurangkan jangka masa proses bersalin sehingga 4 jam kurang daripada wanita yang tidak mengambil kurma. Ini kerana kurma mendorong pembukaan serviks yang memudahkan proses bersalin dan mengurangkan kemungkinan induksi kehamilan (induce labour) berbanding tidak mengambil kurma.

Kajian yang dijalankan di Malaysia juga telah mendapati bahawa kurma juga boleh mengurangkan kemungkinan induksi kehamilan (induce labour) berbanding tidak mengambil kurma. Kajian itu mendapati bahawa pengambilan 7 biji kurma (kira-kira 80g) mulai minggu ke 37.66 kehamilan mungkin bermanfaat dalam peningkatan peluang untuk mengalami kelahiran secara spontan (kelahiran semulajadi) dan dapat membantu mengurangkan keperluan induksi kehamilan.

Kurma dapat membantu proses bersalin kerana komponen yang ada di dalamnya yang boleh mengikat reseptor oksitosin dan meniru fungsi oksitosin yang menyebabkan kontraksi semasa bersalin seterusnya memudahkan proses melahirkan anak. Kurma juga mengandungi komponen tanin yang boleh membantu proses kontraksi.  Namun begitu, bukti klinikal untuk menyokong kesan klinikal tersebut masih lagi kurang. Kajian yang terperinci masih lagi perlu dilakukan untuk membuktikan kesan tersebut.


3.BERPOTENSI MENCEGAH KANSER.

Selain itu, kurma juga berpotensi untuk mencegah penyakit kanser. Kajian menggunakan ekstrak kurma Ajwa pada kadar 100µg/mL mendapati bahawa ekstrak kurma Ajwa berpotensi menghalang pembentukan sel kanser/tidak normal di perut, payu dara, paru-paru dan usus yang boleh menyebabkan kanser di organ-organ tersebut. Aktiviti antitumor ini adalah disebabkan oleh kehadiran antioksidan seperti flavonoid, quercetin, steroids dan polifenol yang ada di dalam buah kurma tersebut.

Aktiviti antioksidan ini meningkatkan aktiviti enzim antioksidan seperti superoxide dismutase (SOD) dan glutathione-S-transferase (GST) yang boleh menghalang penambahan  sel rosak/tidak normal dengan mengurangkan peluang mutagenesis iaitu aktiviti mutasi DNA yang boleh meningkatkan pertumbuhan sel tersebut. Oleh itu, dapat dilihat bahawa kurma dapat mencegah penyakit kanser melalui kawalan genetik


4.BAIK UNTUK SISTEM PENGHADAMAN

Kurma juga baik untuk sistem penghadaman sekaligus mampu mengelakkan masalah berkaitan sistem penghadaman seperti sembelit. Hal ini kerana kurma juga mengandungi serat di mana terdapat kira-kira 3.57-10.9g serat di dalam 100g kurma. Kurma mengandungi serat larut dan serat tidak larut yang mampu meningkatkan saiz najis dan melembutkannya,  meningkatkan kadar pergerakan usus dan  memudahkan najis untuk melalui usus sekaligus melancarkan sistem penghadaman makanan.

Kajian yand dijalankan mendapati bahawa pengambilan kurma sebanyak tujuh biji (kira-kira 50g) oleh 21 orang dewasa selama 21 hari telah meningkatkan pergerakan usus dan meningkatkan kekerapan najis walaupun tidak meningkatkan jumlah mikroorganisma baik di dalam usus. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa pengambilan kurma juga baik untuk sistem penghadaman sekaligus mampu mengurangkan risiko kanser usus tanpa mengubah mirkroorganisma di dalam usus.


5.BAIK UNTUK FUNGSI OTAK.

Kurma juga baik untuk fungsi otak. Kajian makmal mendapati bahawa kurma mempunyai potensi terapeutik terhadap penyakit Alzheimer yang boleh menunjukkan simptom seperti gangguan ingatan yang teruk sehingga boleh mengganggu kehidupan seharian. Kajian mendapati bahawa kurma mempunyai perlindungan terhadap keradangan dan oksidatif stres di otak yang boleh menyebabkan penyakit seperti Alzheimer.

Hal ini kerana aktiviti antioksidan yang terdapat di dalam kurma seperti asid fenolik, asid ferulik dan asid caffeic. Kajian lain terhadap tikus juga mendapati bahawa tikus yang diberi makanan yang dicampur dengan kurma mempunyai daya ingatan dan kemampuan belajar yang jauh lebih baik dan juga tingkah laku yang kurang berkaitan dengan kegelisahan berbanding dengan yang tidak diberi kurma.


6.MENURUNKAN PARAS KOLESTROL DALAM DARAH.

Di samping itu, kurma juga boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah. Kajian yang dijalankan telah menunjukkan bahawa biji kurma (Ajwa dan Sukkari) mempunyai aktiviti hypolipidimik yang mampu menurunkan kadar kolesterol di dalam tikus yang mempunyai masalah diabetes atau masalah kolestrol tinggi. Kajian ke atas tikus albino juga mendapati bahawa ekstrak buah kurma mampu menurunkan paras kolesterol dan trigliceride tikus tersebut.


7.MENINGKATKAN KESIHATAN KARDIOVASKULAR.

Kurma juga bagus bagi meningkatkan kesihatan kardiovaskular seperti jantung. Jantung adalah organ penting bagi manusia kerana fungsinya untuk mengepam dan membekalkan darah ke seluruh badan.

Kajian yang dijalankan mendapati bahawa kurma boleh mengurangkan kadar trigliceride dan tekanan oksidatif yang boleh menyebabkan penyumbatan plak di arteri  dan meningkatkan risiko serangan jantung. Kurma juga mempunyai kalium yang tinggi namun rendah garam yang boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi sekaligus mengelakkan serangan penyakit jantung. Aktiviti antioksidan dan antiradang yang ada pada buah kurma juga berpotensi untuk mencegah penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung.


8.ANTIVIRUS, ANTIKULAT DAN ANTIBAKTERIA.

Kurma juga mempunyai sifat antivirus, antikulat dan antibakteria yang boleh membantu mencegah jangkitan dalam badan manusia. Kajian menunjukkan sifat antimikrobial buah kurma mampu menghalang pertumbuhan mikroorganisma seperti Escherichia coli, Staphylococcus aureus, Klebsiella pneumoni, Candida albicans, C. krusei dan Pseudomonas aeroginos.

Oleh itu, pengambilan buah kurma mampu menghalang pertumbuhan organisma tersebut sekaligus mampu mencegah penyakit yang berkaitan dengan mikroorganisma tersebut. Contohnya, jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Staphylococcus aureus boleh menyebabkan masalah seperti jerawat, bisul dan abses iaitu jangkitan kulit yang sangat mudah berjangkit. Di samping itu, penggunaan antimikrobial yang baru menggunakan sumber semulajadi seperti kurma adalah bagus bagi melawan kerintangan mikroorganisma tersebut terhadap ubat antimikrobial yang sudah ada di pasaran.


9.AKTIVITI ANTIDIABETIK

Aktiviti antidiabetik adalah penting untuk mengawal paras gula dalam darah terutamanya bagi pesakit diabetes. Pelbagai kajian tabung uji dan kajian haiwan telah mendapati bahawa kurma juga mempunyai aktiviti antidiabetik yang boleh menurunkan paras gula dalam darah. Satu kajian terhadap tikus yang mempunyai masalah diabetes telah menunjukkan bahawa 100g/L ekstrak biji kurma Ajwa mampu menurunkan paras gula dalam darah tikus tersebut. Hal ini kerana antioksidan yang ada di dalam kurma seperti flavenoid, steroid, fenolik dan saponin yang mempunyai sifat antidiabetik.

Selain itu, antara kebimbangan yang sentiasa berlaku adalah kurma boleh meningkatkan paras gula dalam darah disebabkan karbohidrat ringkas yang ada di dalamnya. Namun begitu, terdapat satu kajian yang dijalankan di Arab Saudi yang mendapati bahawa pengambilan kurma sehingga 100g sehari tiada perkaitan dengan risiko diabetes. Di samping itu, terdapat juga kajian ke atas  subjek manusia sihat yang menunjukkan bahawa pengambilan kurma sebanyak 100g tidak meningkatkan paras gula semasa berpuasa tetapi telah meningkatkan paras gula setelah makan.


10.BAGUS UNTUK TULANG DAN GIGI.

Oleh kerana nutrisinya yang tinggi kalsium, fosforus dan magnesium, kurma juga bagus untuk tulang. Komponen tersebut  penting untuk gigi yang sihat, melindungi tulang dari osteoporosis, serta mampu menyokong fungsi sel di dalam badan.


11.AKTIVITI ANTIOKSIDAN.

Kurma juga tinggi dengan aktiviti antioksidan yang boleh membantu melawan radikal bebas sekaligus memberi kebaikan kepada kesihatan tubuh badan seperti mampu mencegah penyakit. Pelbagai kajian telah menunjukkan aktiviti antioksidan yang ada di dalam kurma.Hal ini kerana kurma mengandungi pelbagai antioksidan termasuklah polifenol, flavonoid, sterol, tanin dan vitamin C sebagai sumber antioksidan yang baik sekaligus berperanan melindungi sel daripada radikal bebas.


12.MENGURANGKAN KERADANGAN.

Keradangan adalah proses penting yang bertindakbalas kepada kecederaan seperti luka terbakar, jangkitan kuman, alergen, bahan kimia toksik dan rangsangan lain. Ia adalah tindakbalas imuniti tubuh yang akan menyebab keadaan bengkak, radang, panas dan sakit di kawasan yang mengalami proses keradangan tersebut. Keradangan yang tidak seimbang boleh membawa kepada pelbagai penyakit seperti diabetes dan artritis.

Buah kurma juga mengandungi pelbagai komponen fitokimia seperti polifenol, flavonoid, proanthocyanidins, β-carotene dan mineral seperti selenium yang mempunyai sifat antiradang. Pelbagai kajian juga telah mendapati aktiviti antiradang daripada ekstrak kurma yang mampu menghalang keradangan.



1 comment:

pandangan ulama

Hadis Kurma Ajwa Dari Sa’d bin Abi Waqqash radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, مَنْ تَصَبَّحَ كُلَّ يَوْم...